Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

Lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri

Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Jabatan Penerangan​

1_Lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri.JPG

YANG BERHORMAT Menteri-Menteri semasa sesi bergambar ramai bersama penghuni Rumah Panjang Kampong Apak-Apak.

Ulu Belait, Ahad, 5 Mei. – Bagi menyambut dan memeriahkan lagi suasana bulan Syawal, tiga buah kementerian iaitu Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan mengadakan lawatan muhibbah sempena Hari Raya Aidilfitri di ulu Belait.

Hadir mengetuai rombongan kementerian-kementerian ini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad.

Objektif utama lawatan ini ialah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim dan menyalurkan pemedulian daripada pihak Kerajaan terhadap kesejahteraan dan kebajikan komuniti rumah panjang melalui gabungan tiga buah kementerian ini.

Lawatan ini juga adalah bagi meninjau dengan lebih dekat akan keadaan dan kemudahan yang disediakan oleh pihak Kerajaan di kawasan pedalaman disamping mengeratkan pertalian kekeluargaan dan kemesraan di kalangan komuniti rumah panjang dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan mengukuhkan jalinan ukhwah dan silaturrahim di kalangan penduduk dan masyarakat di ulu Belait.

Rombongan mula-mula berkunjung ke Rumah Panjang Bang Taong, Kampong Apak-Apak. Kunjungan yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan ini disambut oleh Ketua Rumah Panjang, Awang Rantai Anak Jawa.

Rombongan kemudian berkunjung ke Rumah Besar Kampong Sukang yang diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Ketibaan rombongan disambut oleh Ketua Rumah Besar Kampong Sukang, Awang Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian.

Dari situ, rombongan meneruskan kunjungan ke Rumah Panjang Julangan Titah Kampong Melilas. Kunjungan ini diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Mengalu-alukan kehadiran rombongan ini ialah Ketua Rumah Panjang Julangan Titah Kampong Melilas, Awang Haji Md Yassin bin Abd Rahman.

Semasa kunjungan ke Rumah-Rumah Panjang dan Rumah Besar berkenaan, rombongan daripada kementerian-kementerian telah berkesempatan untuk beramah mesra bersama penghuni-penghuni di samping berpeluang menyaksikan persembahan daripada para penghuni di sana.

2_Lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri.jpg

SUASANA di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di ulu Belait.

Sepertimana penduduk di seluruh negara, keutamaan akan sentiasa diberikan kepada mempertingkatkan taraf kehidupan dan kelestarian penduduk masyarakat setempat. Oleh yang demikian, melalui pendekatan senegara, usaha akan terus ditumpukan kepada inisiatif-inisiatif yang memberikan impak terbesar kepada kehidupan seharian penduduk setempat. Warga ulu Belait tidak terpinggir dari arus perkembangan dan kemajuan negara. Ini termasuklah kerja-kerja penyediaan jalan raya, bekalan air bersih dan pemasangan bekalan elektrik yang sedang giat dilaksanakan.

Yang Berhormat Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut merasmikan Sudut Bacaan di Rumah-Rumah Panjang dan Rumah Besar berkenaan dengan penyampaian buku-buku bacaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka. Juga menyampaikan buku-buku bacaan ialah wakil daripada Pusat Dakwah Islamiah.

3_Lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri.JPG

YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan merasmikan Sudut Bacaan dengan penyampaian buku-buku bacaan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sudut Bacaan ini merupakan salah satu perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dalam menyediakan koleksi bahan bacaan bersesuaian bagi memenuhi keperluan masyarakat khususnya di Kawasan Ulu dan Rumah Panjang. Sumbangan buku dan majalah ini boleh dimanfaatkan untuk mendapatkan maklumat dan dijadikan saluran yang berkesan untuk menerapkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Antara objektif utama ia dilaksanakan adalah menjadikan rakyat lebih kreatif dalam menjana gagasan baharu dan mampu membangunkan tamadun negara dari segi keilmuan, sosial dan ekonomi. Masyarakat akan keperibadian mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi melalui amalan membaca.

Pada masa ini beberapa sudut bacaan telah ditubuhkan seperti Sudut Bacaan PASMA, Sudut Bacaan Pengakap (Suluh Ilmu), Sudut Bacaan Penjara Maraburong, Sudut Bacaan Pusat Al-Islah, Rumah Panjang Mendaram (Belait), Rumah Panjang Amo (Temburong) dan Rumah Panjang Semabat (Temburong).

Turut menjadi perhatian semasa kunjungan tersebut ialah pengenalan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih dan talian tetap yang telah selasai dilaksanakan pada 26 April 2024 oleh Unified National Networks Sdn. Bhd. (UNN) dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) di enam (6) lokasi pedalaman Kuala Belait iaitu Kampong Bang Taong, Kampong Kukub, Kampong Buau, Kampong Biadong Ulu, Kampong Melilas dan Kampong Sukang. Inisiatif ini adalah antara usaha dalam menyediakan ketersambungan dan komunikasi ke kawasan-kawasan yang belum mempunyai perkhidmatan mudah alih dan tetap, bagi merapatkan jurang digital di kawasan pedalaman dan memperkasa komuniti dengan memberikan akses kepada perkhidmatan asas.

4_Lawatan muhibbah Hari Raya Aidilfitri.jpeg

YANG BERHORMAT Menteri-Menteri menyaksikan demonstrasi ujian kelajuan data mudah alih dan jalur lebar.

Selain itu, dalam usaha untuk mengamalkan tenaga hijau dan mampan, stesen-stesen pangkalan (base stations) di lokasi-lokasi tersebut beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar, suatu pendekatan yang inovatif.

Dengan perkhidmatan internet yang kini tersedia bagi kemudahan para penduduk kampung, pihak UNN juga mengambil kesempatan ini untuk mendemonstrasikan ujian kelajuan data mudah alih (mobile data speed test) dan juga ujian kelajuan jalur lebar. Syarikat telekomunikasi seperti DST, Progresif, and Imagine juga turut serta memperkenalkan pelan rangkaian yang boleh didapati oleh para penduduk kampung.

Menyertai kunjungan Hari Raya Aidilfitri ini ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampong Melilas, Pemangku Ketua Kampong Apak-Apak, dan Pemangku Ketua Kampong Sukang; Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat; Setiausaha-Setiausaha Tetap; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; dan Ketua-Ketua Jabatan daripada ketiga-tiga buah kementerian berkenaan.

Sumber: Siaran Akhbar Bersama Kementerian Pembangunan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Attachments